Ke marilah mendekat kepadaku…
Moga cinta-Nya bisa aku kecapi…
Dan saat tiba masa yang sesuai…
Duhai cinta, datanglah menemani!

Sewaktu bunga-bunga tersenyum indah dan mekar di taman, agaknya mungkin itu yang dikatakan suatu kelebihan. Kelihatan bahagia saat meng update status Facebook meluah cinta.
“I love u, sayang…”.
“Baby cinta ayunx…”.
***
“Adik tahu tak yang kematangan dan matlamat itu penting?”
“Kenapa penting, kak?”
“Penting kerana… andai diri matang, apabila ada yang mahu mengurat, pastinya tidak akan dilayan. Sebab orang yang matang ini tahu apa yang terbaik buat diri. Orang yang matang ini tahu apa yang dia hennak dalam hidup. Cinta Allah didamba. Pelajaran lebih utama. Pesanan ibu dan bapa sentiasa terngiang di telinga. Belajar dahulu…usah dilayan cinta monyet”
Dush!
“Kalau matlamat pula?”
“Itu pun penting kerana manusia yang bermatlamat itu seorang yang berpandangan jauh. Apabila mengetahui apa yang seharusnya dikejar buat masa sekarang, akan sengaja dicicirkan perkara yang tidak perlu. Kerana apa? Kerana mereka yang punya matlamat tidak akan mensia-siakan masa yang terluang dengan perkara yang tiada memberi manfaat. Apatah lagi sewaktu minda masih cerdas dan tubuh masih cergas. Tidak akan membazirkan waktu memikirkan perkara yang tidak sepatutnya. Tidak akan melalaikan hati dengan cinta yang tiada mempunyai arah. Jadilah manusia mukmin yang bertaqwa. Mereka banyak berfikir untuk dunia yang abadi dan meninggalkan perkara yang sia-sia. Banyakkanlah berfikir yang boleh menambah iman. Bukankah kita manusia yang dikurniakan akal oleh Allah untuk berfikir,”
Dush!
“Jadi kak, macam mana nak jadi orang yang matang dan punya matlamat ni?”
“Dengan ilmu sayang.. “
***
Kerana itu duhai adik yang kakak sayangi… fokuslah pada tuntutan ilmu terlebih dahulu…
Kerana dengan ilmu sahaja bisa memandu diri memilih haluan yang benar.
Kerana dengan ilmu sahaja bisa memberi cahaya buat diri melalui titian yang betul.
Kerana dengan ilmu bisa menambahkan kecintaan terhadap Dia Rab Sekalian Alam.
Apabila berilmu, diri akan mengetahui syariat yang digariskan oleh Allah. Apabila berilmu, mengetahui bezanya antara yang hak dan yang batil.
“Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”
Selak Al-Quran, surah Az-Zumar ayat 9.
Apakah sama orang yang berilmu dan tidak berilmu?
Semestinya tidak, sayang…
Kerana orang yang berilmu takut berpegangan tangan dengan dia yang bukan mahram.
Kerana orang yang berilmu takut andai hati makin kotor kerana jauh dari sinar-Nya.
Kerana orang yang berilmu takut melakukan maksiat kerana tahu Allah itu Maha Melihat.
Kerana orang yang berilmu takut andai usia yang ada hanya terbuang begitu sahaja dan tiada manfaat kepada penambahan amalan.
Itu dia. Ilmu mewujudkan perasaan khauf. Takut kepada Allah.
***
Saat ilmu dituntut, usah biar cinta melutut.
“Tapi kak, ada kawan saya, couple pun, result gempak apa,”
“Result gempak itu adakah kerana si dia yang mendoakan? Kakak pasti itu kerana doa si ibu yang makbul. Dan kakak yakin si dia hanya mengajar cara bertasbih dengan handphone”
Sudah menjadi sunnatullah, hasil berbuah apabila ada usahanya terlebih dahulu. Mungkin kerana si dia pemberi semangat, diri berkobar-kobar dan berbunganya hati sewaktu melangkah masuk pintu pagar sekolah. Mungkin kerana si dia yang tulus menunjukkan kasih, diri setia memberi sayang. Sumber inspirasi kejayaan katanya.
Andai langkahan menuntut ilmu diniatkan kerananya, bagaimana pula dengan Dia?
Andai cinta melutut di celah ilmu yang dituntut hingga mendorong diri menghampiri maksiat, di manakah keberkatannya?
***
Akhirnya… Dengan ilmu, ingatilah kematian.
Sungguh kematian itu peringatan yang terbaik. Apabila teringat akan kematian, lenyaplah segala kelazatan.
Apabila mengingati kematian, keseronokan couple hilang begitu sahaja. Cuba adik bayangkan mereka yang bercouple itu akan mula lalai daripada mengingati Allah. Siang malam dihabiskan masa dengan bermesej. Solat hanya sekadar pergerakan. Aurat mula terbuka sedikit demi sedikit. Ibadah tiada pertambahan. Yang ada dalam fikiran hanya dia. Ibu dan ayah menyuruh supaya belajar bersungguh-sungguh namun lihatlah contengan love berpanah pada halaman akhir buku tulis. Nah, angau…
Dan bayangkan pula, sewaktu pulang dari sekolah, mereka yang bercouple berjanji mahu keluar bersiar-siar di bandar ingin memadu kasih. Si Hawa membonceng motosikal si Adam. Belum sempat tiba di destinasi yang dituju, mereka menemui ajal.
Kesimpulan.
Dahulukan ilmu di usia muda. Percayalah cinta sebenar bakal menyusul dengan keizinan-Nya. Tuntutlah ilmu kerana Allah. Tuntutlah ilmu untuk diamalkan bukan hanya sekadar ‘A’ di kertas untuk dibanggakan. Sentiasa dengar pesanan ibu dan ayah, kelak redha Allah menemani diri dalam menjalani kembara dunia.
No comments:
Post a Comment